KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Seramai 20 belia daripada pelbagai latar belakang, kaum dan kerjaya termasuk penyanyi Dayang Nurfaizah Awang Dowthy dilantik sebagai Ahli Lantikan Menteri, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bagi tempoh 2009-2010.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pencalonan yang diterima dari kalangan belia sendiri dengan 200 pencalonan diterima.
"Sebanyak 40 calon disenarai pendek dan ditemubual oleh menteri sendiri dan 20 belia dipersetujui untuk dilantik sebagai `Ahli Lantikan Menteri' MPBN bagi penggal ke-27, Tahun 2009-2010," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Rabu.
Ahmad Shabery yang juga Pengerusi MPBN berkata sebelum ini, Ahli Lantikan Menteri MPBN dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan tetapi bermula tahun ini, Kementerian Belia dan Sukan bersetuju pelantikan tersebut dibuat melalui pencalonan dari kalangan belia sendiri.
MPBN, katanya telah wujud sejak 1971 sebagai forum ala-Parlimen Belia bagi membolehkan pemimpin golongan tersebut bersemuka dengan pimpinan kerajaan untuk membincangkan dasar, strategi, pendekatan, isu serta program pembangunan belia.
Beliau berkata pada 2007, peranan MPBN dalam membangunkan generasi belia menjadi semakin penting apabila penubuhannya diwartakan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) iaitu menerusi peruntukan dalam Bahagian V (Seksyen 35 hingga Seksyen 48) akta tersebut.
Menerusi Akta 668 tersebut, katanya MPBN akan berfungsi sebagai badan perundingan dalam hal yang berhubung dengan pembangunan belia.
Ahmad Shabery berkata kesemua calon tersebut akan menerima watikah pelantikan masing-masing semasa Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara yang akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya pada 22 Okt ini.
Senarai Ahli Lantikan Menteri MPBN:
1. Siti Sarah Wan Noor (pelajar)
2. Dayang Nurfaizah Awang Dowthy (penyanyi)
3. Dalbir Singh (perunding teknikal)
4. Khairul Anwar Shazali (penolong pengurus)
5. Suhasni Hayani (guru)
6. Zamsari Jumani (Ketua Seksyen Komunikasi Felda)
7. Mohd Azim Othman (pengarah eksekutif)
8. Mohd Lassim Burhan (pengarah eksekutif)
9. Ezaruddin Abdul Rahman (pengarah syarikat)
10. Annadurai Muthusamy (penganalisis)
11. Joel Neoh Eu Jin (pengarah projek)
12. Ravichandran Balasundram (pelajar)
13. Datuk Dr Lim Chin Fui (pengarah urusan)
14. Foong Xiao Thoong (pelajar)
15. Lim Teck Ho (peniaga)
16. Nordin Fazal Elahi (peniaga)
17. Norazlin Mohd Noor (pegawai tadbir)
18. Mohd Irwan Rizal Mohd Ali (peniaga)
19. Piat Nik Chew (penolong pengarah)
20. Ahmad Rahimi Ahmad Fauzan (pelajar).
-- BERNAMA
14 Oktober, 2009 17:25 PM
No comments:
Post a Comment